Wali-Wali Allah Terpilih


Kami letakkan di sini beberapa maklumat mengenai sekumpulan wali-wali Allah yang terpilih


 

 

Nota-Nota Ringkas

 

asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi

Gambar hiasan : Membaca al-Quran di Jabal Abi Qubais

 

 

Wajah lelaki yang sedang membaca al-Quran ini telah dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai menyerupai wajah Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdullah as-Suhaimi, seorang wali Allah yang terkenal di Tanah Melayu dan Pulau Jawa pada zamannya (*). Beliau telah dilahirkan di bandar Sudaragan, yang terletak dalam Kabupaten Wonosobo, Provinsi Jawa Tengah pada tahun 1259 Hijrah dan telah meninggal dunia pada tahun 1343 Hijrah (yang bersamaan dengan tahun 1925 Masihi) di Kelang, Selangor ketika berumur 84 tahun (yakni mengikut kiraan tahun Hijrah).

Silsilah keturunan beliau yang lebih lengkap ialah Muhammad (as-Suhaimi) bin ‘Abdullah bin ‘Umar bin ‘Abdur Rahim bin ‘Abdul Karim bin Muhyiddin bin Nuruddin bin ‘Abdur Razzaq al-Madani bin Hasan bin ‘Ali bin Ahmad bin Abu Bakr asy-Syaibani bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin Muhammad al-Faqih bin ‘Ali bin Muhammad (Sohibul-Marbat) bin ‘Ali Khali' bin ‘Alawi ath-Thani bin Muhammad bin ‘Alawi al-Awwal bin Ubaidullah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa ar-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin Ali al-Aridhi bin Ja‘far as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali (Zain al-Abidin) bin Sayyidina al-Husain (as-Sibt) bin Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib.

Sayyidina al-Husain (as-Sibt) adalah putera kedua kepada Sayyidatina Fatimah az-Zahra' al-Batul, yang merupakan puteri kesayangan kepada penghulu sekelian nabi dan kekasih Allah Yang Maha Suci, yakni Muhammad bin ‘Abdullah al-Hasyimi, sollallahu 'alaihi wa sallam.

 

Antara pemandangan yang terdapat di Wonosobo

 

Sebuah cerita karamah Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi:

Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi selalu berulang-alik dari Singapura ke Kelang. Pada suatu hari, beliau telah singgah di Muar dan bersolat di sebuah masjid. Ketika berada dalam solat berjemaah itu, seorang makmum telah memerhatikan yang pakaian Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi telah tiba-tiba menjadi basah. Setelah selesai daripada solat itu, si makmum hanya duduk diam menantikan penjelasan kerana dia tidak berani untuk menanyakan Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi.

Selepas beberapa waktu kemudian, tiba-tiba datang seorang lelaki ke masjid itu. Dia telah menceritakan kepada orang ramai di situ bahawa ketika dia berada di laut, dia telah terkena pukulan angin ribut yang kuat sehingga botnya telah karam dan dia telah hampir-hampir lemas. Di dalam keadaan cemas, dia telah menyeru kepada Allah. Tiba-tiba dia terlihat seorang syaikh telah datang dan telah menolongnya, dan telah membawanya ke tepi pantai. Kemudian syaikh itu telah ghaib.

Apabila lelaki itu selesai bercerita, dia telah memerhatikan orang-orang di masjid itu. Dia telah merasa terperanjat kerana menurutnya, syaikh yang telah menolongnya ialah Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi, yang ketika kejadian tadi berlaku, sedang menjadi imam di dalam solat berjemaah itu!

Sebuah cerita karamah lain bagi Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi:

Perkara dapat berada di dua tempat atau lebih dalam sesuatu masa adalah satu karamah yang banyak telah dikurniakan oleh Allah kepada para waliNya daripada golongan al-Abdāl, sedangkan Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi pula, maqamnya adalah lebih tinggi daripada golongan al-Abdāl. Maka perkara beliau dapat dilihat oleh beberapa orang di tempat yang berlainan dalam sesuatu masa juga adalah sesuatu yang sering berlaku kepada Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi.

Telah diceritakan oleh seorang anak murid beliau bahawa dia pernah mengerjakan haji di Makkah al-Mukarramah. Ketika dia sedang berada di dalam Masjidul-Haram, dia telah membaca wirid-wiridnya yang telah dia pelajari dan telah dia terima ijazahnya daripada Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi di Singapura. Ketika dia membaca wirid-wiridnya itu, dia tidak menggunakan tasbih, hanya menghitung dengan jari-jarinya sahaja.

Tiba-tiba dia telah melihat Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi datang mendekatinya dan telah bertanya, "Mana tasbihmu?"

Si murid telah menjawab, "Saya tidak memiliki tasbih, Tuan."

Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi telah berkata, "Kalau tidak ada tasbih, bagaimanakah engkau dapat mengira bacaan-bacaanmu itu dengan tepat? Nah, ambillah tasbihku ini."

Setelah memberikan tasbihnya kepada si murid, Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi pun beredar pergi daripada situ.

Apabila si murid kembali ke Singapura, dia telah mendapati bahawa Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi sudah pun berada di Singapura. Dia kemudian telah memberitahu kawan-kawannya bahawa Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi baru sahaja menunaikan haji kerana dia telah berjumpa dengan Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi di Masjidul-Haram pada musim haji itu. Tetapi kawan-kawannya telah menyangkalnya.

Mereka telah berkata, "Tidak mungkin, kerana sepanjang musim haji yang baru lepas ini, Kiayi Agung berada di Singapura. Setiap hari beliau mengajar seperti biasa dan setiap hari beliau menjadi imam di Masjid Ma‘ruf (dibina pada tahun 1870 di Clyde Street, Singapura dan telah dirobohkan pada tahun 1996)."

Si murid telah menunjukkan kepada kawan-kawannya itu tasbih berwarna hitam yang telah dia terima daripada Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi di Masjidul-Haram. Ramai daripada mereka yang telah dapat mengecam dan mengenali tasbih hitam itu kerana ia memang pernah digunakan oleh Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi sebelum itu. Mereka pun meyakini kata-kata si murid itu.

Antara pesanan-pesanan Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi:

Ketika beliau masih hidup, Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi selalu menasihati anak-anak murid beliau agar sentiasa mencontohi Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam dalam segala perbuatan mereka, termasuk dalam bersolat. Beliau telah menyuruh anak-anak murid beliau agar sentiasa bersolat lima waktu dalam keadaan berjemaah.

Beliau juga telah berpesan kepada anak-anak murid beliau agar sentiasa mencintai Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam.

Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh sesetengah orang-orang Melayu dahulu kala, "Tak kenal maka tak cinta." Oleh itu, untuk membolehkan anak-anak murid beliau mencintai Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam dengan lebih sempurna, mereka telah disuruh mengenali peribadi dan tingkah laku Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam terlebih dahulu. Dalam usaha ini, mereka telah disuruh untuk memperbanyakkan membaca kisah-kisah yang terdapat di dalam kitab-kitab Maulid. Sebagai satu contoh, bagi para pengikut Kiayi Agung asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi di tahap serius, mereka dikehendaki membaca Maulid al-Barzanji dan Maulid ad-Diba‘i pada setiap minggu.

    

Kitab yang mengandungi Maulid al-Barzanji dan Maulid ad-Dibai

 

Nota:

(*) Keserupaan wajah lelaki di dalam gambar ini dengan wajah Kiayi Agung pernah kami bincangkan dengan cucu beliau yakni al-Marhum al-Ustadh Muhammad Taha Suhaimi pada tahun 1990 Masihi, dan beliau telah menyatakan bahawa ini bukan wajah Kiayi Agung.

 

Muka Utama

 


vBulletin counter

Maktabah Ibn Badawi